Luqman Hakim Tak Puas Hati, Akui Dirinya Banyak Kelemahan

Luqman Hakim 5 Luqman Hakim Tak Puas Hati, Akui Dirinya Banyak Kelemahan
FAM Official
Nabil Fahmi @nabilfamy
11:58pm 20/03/2022

Menjadi seorang penyerang skuad senior pada usia yang masih muda bukanlah satu tugas yang mudah buat penyerang muda Harimau Malaya, Luqman Hakim Shamsudin.

Walaupun pelbagai jenis kritikan yang dilemparkan, Luqman mengambil segalanya dengan positif dan terus berusaha untuk menampilkan kemampuan bersama skuad senior negara.

Pemain yang beraksi untuk KV Kortrijk di Liga Belgium itu mengakui dirinya masih banyak kelemahan jika dinilai persembahannya dalam dua kejohanan bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini. Kini, beliau mahu perbaiki kesilapan dan membuktikan sesuatu kepada pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

“Saya pernah bermain di Dubai (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) dan Piala AFF (di Singapura), jadi kelemahan sebelum ini perlu diperbaiki. Saya tahu kelemahan sendiri, saya kena belajar daripada kesilapan.

“Mungkin saya tidak berpuas hati dengan persembahan sebelum ini, jadi saya kena tunjuk balik (kemampuan),” katanya kepada Arena Metro dalam sesi latihan pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemain berusia 20 tahun ini sangat sinonim dengan larian-larian deras yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan. Beliau juga mempunyai rembatan deras dan skil yang dimiliki mampu mengubah rentak permainan pasukan Harimau Malaya.