Maguire Hadiahkan Dua Gol Buat Jerman
Dunia
The Telegraph
Advertisements

England meneruskan aksi hambar dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA apabila mereka terpaksa berkongsi mata dengan Jerman selepas seri 3-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Wembley awal pagi tadi.

Namun yang mencuri tumpuan para peminat adalah bagaimana pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire menghadiahkan dua gol kepada Jerman dalam perlawanan itu.

Separuh masa pertama perlawanan ditamatkan dengan kebuntuan jaringan selepas tiada gol yang berjaya dicetak para pemain kedua-dua pasukan.

Advertisements

Bersambung babak kedua perlawanan, Jerman terlebih dahulu di hadapan menerusi sepakan penalti Ilkay Gundogan pada minit ke-52 perlawanan. Sepakan penalti tersebut dihadiahkan selepas Maguire menyepak kaki pemain muda Jerman, Jamal Musiala.

Ketinggalan satu gol, England menggandakan asakan namun Maguire sekali lagi menjadi punca kepada gol kedua yang dihasilkan Jerman. Maguire cuba mengawal bola dengan lama di bahagian tengah namun bola dirampas oleh pemain Jerman yang pantas melakukan serangan balas.

Serangan balas tersebut nyata membuahkan hasil apabila Kai Havertz menjaringkan gol menarik dari luar kotak penalti untuk menggandakan kedudukan menjadi 2-0 memihak Jerman.

Advertisements

England yang semakin ketinggalan mula membuat pertukaran dengan memasukkan Bukayo Saka dan Mason Mount dalam usaha mereka menjaringkan gol. Percaturan tersebut nyata berbaloi apabila mereka menjaringkan dua gol dalam masa tiga minit melalui Luke Shaw pada minit ke-72 dan Mason Mount pada minit ke-75.

Kebangkitan England diteruskan oleh Harry Kane apabila penyerang berbisa itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-83 selepas Bellingham dikasari pemain Jerman. Kedudukan berubah 3-2 memihak England.

Hasrat England untuk memenangi perlawanan berkecai apabila Kai Havertz sekali lagi meledak pada minit ke-87 perlawanan sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 3-3.

Advertisements

England kini berada di tangga tercorot dengan tiga mata dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA (Liga A – Kumpulan 3). Mereka masih gagal mencipta kemenangan dalam enam perlawanan yang diharungi. Manakala Jerman kini mengumpul tujuh mata dalam enam perlawanan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram