Maksim Lisitsyn Dilantik Jurulatih Baharu Kyrgyzstan
MakanBola
Kyrgyzstan FU

Meskipun berjaya layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, Kyrgyzstan pantas membuat perubahan pada struktur kejurulatihan mereka.

Kesatuan Bola Sepak Kyrgyzstan (KFU) memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak Stefan Tarkovic dan membawa masuk Maksim Lisitsyn sebagai jurulatih baharu.

Perubahan ini diumumkan badan induk bola sepak Kyrgyzstan itu menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi mereka hari ini.

Sebelum menggalas peranan sebagai jurulatih The White Falcons, beliau pernah membimbing skuad Kyrgyzstan Bawah 23 Tahun (B-23), Kyrgyzstan B-20 dan Ilbirs Bishkek.

“Maksim Lisitsyn, jurulatih Rusia berusia 46 tahun telah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kyrgyzstan. Beliau akan membimbing pasukan untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 yang bermula pada September ini.

“Lisitsyn menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Kyrgyzstan sejak empat tahun lalu. Pada tahun 2022, di bawah bimbingannya, pasukan Kyrgyzstan B-20 berjaya sampai ke final Piala Asia B-20.

“Selain itu, jurulatih Rusia berkenaan turut membimbing skuad Olimpik Kyrgyzstan B-23 ke Piala Asia B-23 (2024),” kata badan induk itu.

Lisitsyn dijangka membawa staf kejurulatihan pilihannya sendiri bagi membantu beliau mengendalikan pasukan itu.

Ini kerana staf kejurulatihan yang berada di bawah seliaan Tarkovic selama 14 bulan semasa melatih Kyrgyzstan turut memilih meninggalkan pasukan.

Kyrgyzstan berjaya layak ke pusingan ketiga kelayakan selepas mengumpul 11 mata daripada enam perlawanan. Itu sudah cukup buat pasukan itu muncul naib juara Kumpulan D dan mengenepikan cabaran Harimau Malaya.

The White Falcons bakal mengetahui mereka akan berada dalam kumpulan mana pusingan ketiga kelayakan menerusi cabutan undi yang diadakan pada 27 Jun ini.