Skuad Malayan Tigress Bawah 17 Tahun (B-17) menjadi pasukan pertama yang menggunakan padang Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya.
Perkara ini dikongsikan pengurusan skuad kebangsaan, Malaysia National Team dalam satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
NTC dibina dengan kos RM69 juta menerusi dana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Fasa pertama projek itu dijangka selesai pada Disember 2026. Fasa kedua NTC pula dijangka siap pada Disember 2027.
Skuad muda wanita negara yang dibimbing Takayoshi Ishihara sibuk membuat persiapan bagi menghadapi kempen Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2027 yang bakal berlangsung dari 5 hingga 11 Oktober ini di Stadium Selayang, Selangor.
Hari kedua sesi latihan mereka turut diserikan dengan kehadiran Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Exco FAM, Datuk Suraya Yaacob.
Hamidin bukan saja memberikan suntikan semangat serta dorongan moral khas buat barisan kejurulatihan dan para pemain.
Malah, beliau turut menitipkan kata-kata nasihat serta amanat penting agar barisan pemain kekal fokus, berdisiplin dan bersedia menggalas tugas besar demi membawa cabaran serta kebanggaan nama negara di pentas kelayakan.
Malayan Tigress B-17 akan membuka kempen Kumpulan E dengan menentang Syria pada 5 Oktober. Ini disusuli perlawanan menentang Iraq (8 Oktober) dan India (11 Oktober) dengan juara kumpulan layak secara merit ke Piala Asia Wanita B-17.