Malaysia berpeluang untuk meraih wang ganjaran sebesar hampir RM1 juta selepas mengesahkan kemaraan ke pentas Piala Asia selepas 43 tahun.
Skuad kendalian Kim Pan-gon juga berada dalam momentum terbaik selepas merekodkan dua kemenangan di pentas Kelayakan Piala Dunia 2026 menewaskan Kyrgyzstan dan juga Chinese Taipei.
Harimau Malaya juga melangkah ke pentas berprestij Asia itu dengan langkah yang cukup hebat selepas pasukan merekodkan 66 peratus di bawah kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan itu.
Penyertaan Malaysia dalam Piala Asia 2023 menyaksikan sejumlah wang ganjaran berpeluang diraih oleh pasukan kebangsaan dan bakal memperoleh lebih banyak ganjaran sekiranya mara lebih jauh.
Menerusi satu kenyataan oleh media Vietnam, VN Express, juara Piala Asia bakal menerima wang sebanyak 5 juta USD (RM23 Juta) sementara naib juara bakal membawa pulang 3 juta USD (RM14 Juta).
Pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Asia 2023 akan meraih RM1 juta USD (RM4.63 Juta) dengan setiap pasukan yang mengesahkan penyertaan berpeluang meraih 200,000 USD (RM926 ribu).
Format Piala Asia di Qatar menyaksikan pasukan dibahagikan kepada enam kumpulan yang terdiri daripada empat pasukan setiap kumpulan.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan berikutnya, bersama-sama dengan empat daripada enam pasukan terbaik di tempat ketiga.
Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali, Korea Selatan, Bahrain dan Jordan dengan aksi pertama bakal menemukan skuad kebangsaan menentang anak didik Houssem Amouta.
Harimau Malaya akan berdepan pasukan ke-91 dunia, Syria terlebih dahulu dalam aksi persahabatan sebagai persiapan ke Piala Asia.