Menjelang aksi final Malaysia Futsal Cup (MFC) menyaksikan rekod 5 pertemuan lampau antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor mencuri perhatian para peminat.
Naib juara MFC musim lalu, JDT mara ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut setelah tidak berdepan masalah menyingkirkan KL City dalam aksi separuh akhir sebelum ini.
Skuad kendalian Juan Miguel Garcia melayakkan diri dengan keputusan agregat 9-2 apabila menumbangkan KL City 4-0 dalam aksi pertama sebelum mencatat kemenangan 5-2 di laman sendiri.
Sementara, Selangor pula berjaya mengatasi cabaran hebat dari juara bertahan, Pahang Rangers yang memberi saingan sengit buat skuad Gergasi Merah namun akur terlepas tiket ke final.
Pada aksi pertama di Kuantan, Selangor berhasil membawa pulang kelebihan dua jaringan sebelum kedua-dua pasukan terikat 4-4, menyaksikan hasrat Pahang Rangers pertahan kejuaraan terkubur.
Keputusan ini membawa pasukan JDT dan Selangor lolos ke perlawanan akhir MFC dengan kedua-dua jaguh tanah air ini bakal membuat kemunculan ke-2 di pentas final pada Ahad.
Berdasarkan rekod 5 pertemuan lalu, JDT merekodkan tiga kemenangan berbanding Selangor yang hanya menang sekali manakala satu lagi aksi berakhir dengan keputusan seri 1-1.
3 kemenangan dilakar JDT ketika saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 di Pasir Gudang dan dua lagi ketika perlawanan separuh akhir pertama dan kedua MFC 2023.
Selangor pula mencatatkan satu-satunya kemenangan ketika pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada 14 Julai yang lalu dengan keputusan 2-1 hasil gol Syahir Iqbal dan Gabriel Rossa.
Keputusan seri pula berlaku ketika JDT melayani kunjungan Selangor dalam kempen MFPL 2023 pada 27 Mei yang menyaksikan Harimau Selatan dan Gergasi Merah terikat 1-1.
Oleh itu, aksi final di Axiata Arena pada Ahad, 6 Oktober ini bakal menjanjikan permainan sengit oleh JDT dan Selangor dengan sepak mula jam 5.30 petang.