Skuad wanita Malaysia B-17 memanggil seramai 25 pemain ke kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kejohanan Srikandi Merdeka Cup 2026 yang akan berlangsung di Kudus, Indonesia pada 14 hingga 23 Ogos ini.
Ketua jurulatih Malayan Tigress B-17, Fairuz Montana Zainal Abidin akan memulakan kem latihan pusat bermula Selasa, 4 Ogos sebelum memilih 23 pemain terbaik bagi menggalas cabaran Malaysia di kejohanan tersebut.
Daripada senarai yang diumumkan, seramai 10 pemain daripada skuad Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2026 di Dushanbe, Tajikistan pada Oktober tahun lalu terus diberi kepercayaan untuk kekal bersama pasukan.
Pada masa sama, seramai 13 muka baharu dipanggil menyertai kem latihan kali ini termasuk penjaring terbanyak Liga Puteri Divisyen 1 musim 2026, A. Danushri.
Srikandi Merdeka Cup 2026 yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) menghimpunkan lapan pasukan iaitu Malaysia, Garuda Pertiwi, Putri Nusantara, Thailand, Singapura, Hong Kong, Jordan dan Arab Saudi.
Semua pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan format liga satu pusingan, sebelum dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke peringkat separuh akhir.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Garuda Pertiwi, Hong Kong dan Arab Saudi.
Skuad kendalian Fairuz Montana akan membuka kempen menentang Hong Kong pada 14 Ogos, sebelum berdepan Garuda Pertiwi pada 16 Ogos dan Arab Saudi pada 18 Ogos di Super Soccer Arena, Kudus.
Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan beraksi di separuh akhir pada 21 Ogos, manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 23 Ogos.