Aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 Malaysia-Thailand menyaksikan Harimau Malaya menang tipis 1-0. Bagaimanapun, ia turut diselubungi kontroversi termasuk tuan rumah dinafikan gol kedua – hakikat yang turut diakui jurulatih skuad Gajah Perang, Mano Polking.
Dalam sidang media pra-perlawanan separuh akhir kedua hari ini, jurulatih berdarah Brazil-Jerman itu berpandangan gol Dominic Tan itu sepatutnya dikira oleh pengadil Korea Selatan, Kim Dae-yong.
“Insiden gol kedua Malaysia itu, pada saya, sejujurnya ia sepatutnya dikira sebagai gol. Keputusan itu saja mengambil masa lima minit,” katanya.
Jawapan Polking ini turut disokong oleh ulang tayang perlawanan yang menunjukkan Dominic tidak melakukan kekasaran terhadap penjaga gol Kittipong Phuthawchueak semasa menanduk bola ke arah gawang Thailand.
Pastinya, kedua-dua pasukan tidak mahu mutu pengadilan lemah membayangi aksi kedua separuh akhir yang berlangsung di Stadium Thammarat esok.
Malaysia boleh mara ke final Piala AFF 2022 dengan syarat dapat mempertahankan bekalan gol tipis yang diraih di Stadium Nasional Bukit Jalil. Manakala Thailand pula perlu menang bagi membolehkan mereka mempertahankan trofi yang dimenangi pada edisi 2020.