Pemain sayap Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo ingin membawa pasukan itu ke final Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2014.
Saingan Piala Malaysia kali ini menyaksikan Tok Gajah melangkah ke separuh akhir. Ini selepas Sri Pahang menyingkirkan Perak FC 4-3 secara agregat di peringkat suku akhir.
Kejayaan ini juga menyaksikan Tok Gajah berpeluang mengakhiri kemarau final Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2014. Tahun tersebut menyaksikan Sri Pahang muncul juara buat kali keempat dalam sejarah kejohanan.
Atas sebab itu, Hidalgo mahu menceriakan penyokong dengan membawa pasukan Pantai Timur itu ke final.
“Saya harap penyokong dapat terus menyokong kita. Kita akan pergi (beraksi) lebih awal dan cuba beraksi di final. Kita mahu beri aksi terbaik di Bukit Jalil,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzeiman.
Aksi suku akhir kedua menentang Perak turut menyaksikan Hidalgo menyumbat tiga gol buat Sri Pahang.
Ini dilihat satu petunjuk baik lebih-lebih lagi selepas beliau antara calon pemain naturalisasi baru yang berpotensi memperkuat Harimau Malaya.