Pertahanan Johor Darul Ta’zim, Maurício dos Santos Nascimento mendedahkan realiti sebenar menjadi pemain bola sepak di JDT kepada wartawan Rusia semasa berada di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE).
Menurutnya bekerja di JDT mempunyai tekanan yang tersendiri dan beliau anggap tekanan tersebut sebagai baik untuk kariernya dan pemain-pemain lain.
Seperti yang diulang siar oleh pihak Johor Southern Tigers, beliau turut memuji DYAM Tunku Ismail (TMJ) yang sentiasa menjadi ‘Pakar Motivasi’ buat semua pemain.
“Saya berasa seperti di tempat sendiri, dan saya sangat gembira apabila takdir membawa saya ke kelab ini. Kelab kami ini sangat istimewa. Boss (DYAM Tunku Ismail) sentiasa memberi motivasi kepada pasukan untuk memenangi setiap perlawanan dan sentiasa menjadi yang pertama. Baginda mencipta keadaan yang selesa buat semua pemain dalam segala-galanya — hidup, latihan dan perlawanan. Atas sebab ini, kami perlu membalas jasa Baginda dengan beraksi cemerlang. Ini adalah asas kepada bola sepak,” jelas Mauricio kepada Sport Express Rusia.
“Pada 2020, Baginda telah menyewa kereta berprestasi tinggi untuk kami pemain: Ferrari, Lamborghini dan jenama-jenama yang lain. Kami memandunya ke latihan dan perlawanan. Bagi saya, ianya seperti setiap impian kanak-kanak. Dalam masa yang sama, tiada seorang pun yang lupa tujuan kami ke Dubai adalah untuk bersedia bagi menghadapi musim baharu — iaitu objektif utama kami.”
“Tanggungjawab kami sangat besar. Tetapi sejujurnya, saya suka tekanan seperti ini. Anda tidak boleh membenarkan diri anda untuk berehat walau sesaat. Anda sentiasa diminta untuk mempunyai permainan yang lebih baik, keputusan yang lebih baik dan semestinya, trofi-trofi.” Tambah beliau.
Mauricio yang kini beraksi bersama JDT sejak 2019 pernah beraksi bersama gergasi Itali, Lazio sebelum dipinjamkan ke Spartak Moscow pada tahun 2016.
Dalam siri jelajah JDT di UAE untuk tahun 2022, mereka berjaya memperoleh 1 kemenangan, 3 seri dan 1 kekalahan dan menamatkan siri jelajah kali ini dengan keputusan seri menentang bekas kelab Mauricio, Spartak Moscow.