Nama 3 bintang baharu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Sepanyol telah didedahkan oleh salah sebuah media di Eropah.
Ketika ini, JDT sememangnya mendominasi arena bola sepak tempatan apabila menghuni tangga teratas kedudukan Liga Super selain turut menjulang kejuaraan Piala FA musim ini.
Malah, skuad Harimau Selatan ini juga hanya selangkah bagi mempertahan gelaran juara Piala Malaysia setelah mara ke perlawanan akhir apabila mengatasi Terengganu pada Sabtu.
Di peringkat Asia, JDT turut berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan kalah mati apabila berada di tangga ke-6, mengumpul 6 mata dengan berbaki 2 lagi perlawanan.
Walau bagaimanapun, JDT ketika ini dilanda isu kecederaan pemain apabila 4 pemain dilaporkan terpaksa berehat agak panjang seperti Enzo Lombardo, Syahmi Safari, Hong Wan dan Feroz Baharudin.
Ketiadaan beberapa tonggak ini dilihat sedikit sebanyak akan merencatkan perancangan jurulatih, Hector Bidoglio untuk menghadapi saingan liga domestik dan kejohanan peringkat Asia.
Terkini, berdasarkan laporan oleh media tempatan Sepanyol, Relevo, terdapat 3 orang pemain baharu yang bakal terbang ke Malaysia untuk melengkapkan perpindahan ke JDT.
Menurut Relevo, 3 pemain tersebut adalah dua tonggak di jentera tengah iaitu Jonathan Viera dan juga Roque Mesa manakala seorang lagi adalah bek tengah, Alvaro Rodriguez.
“Jonathan Viera, Roque Mesa dan Álvaro González menyertai Jesé di JDT di Malaysia untuk 4 perlawanan,” lapor Relevo.
“Trio Sepanyol menuju ke Malaysia. 3 bekas pemain La Liga yang terkenal akan berlepas esok ke Kuala Lumpur untuk memperkuat skuad JDT, kelab terkuat di negara ini.”
Tambah Relevo lagi, ketiga-tiga mereka akan bersama JDT untuk mengharungi kempen AFC Champions League Elite (ACLE) dan akan bersatu bersama bintang Sepanyol, Jese.
“Jonathan Viera, Roque Mesa dan Álvaro González menyertai pasukan yang sudah hampir menakluk liga tempatan mereka, dengan matlamat untuk melayakkan mereka ke Liga Juara-Juara Asia.”
“Di sana, mereka akan berkongsi bilik persalinan bersama rakan lama, seperti Jesé,” tambah media tempatan itu lagi.
Viera menghabiskan sebahagian besar karier bersama kelab Sepanyol seperti Valencia, Las Palmas dan Almeria manakala Mesa pernah beraksi bersama Swansea City di Liga Perdana Inggeris.
Gonzalez pula merupakan bekas pertahanan Sepanyol B-21 yang menjuarai kejohanan bawah umur Eropah selain pernah menyarung jersi pasukan gergasi Perancis, Olympique de Marseille.
Ketiga-tiga mereka kini berstatus ejen bebas dengan kelab terakhir Viera adalah Khor Fakkan di UAE sementara Mesa bersama Sporting Gijon di Sepanyol dan Gonzalez bersama Al Qadsia.
Ujian seterusnya buat JDT adalah melayani kunjungan PDRM bagi saingan Liga Super pada 5 Februari ini sebelum terbang ke Australia untuk menentang Central Coast Mariners.