Merehatkan Ronaldo Ibarat Tidak Mengenang Segala Jasanya Kepada Negara
Dunia
FIFA via Getty Images
Advertisements

Cristiano Ronaldo tidak boleh diketepikan daripada kesebelasan utama walau apa pun sebabnya, dia wajib diturunkan selagi belum bersara.

Itu pendapat disuarakan kakak kepada pemain itu, Elma Aveiro yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakan Fernando Santos tidak menyenaraikan Ronaldo dalam kesebelasan utama ketika Portugal membenam Switzerland 6-1 dalam aksi pusingan kedua Piala Dunia.

Elma berkata, mengetepikan Ronaldo satu perbuatan memalukan dan ibarat tidak mengenang segala jasa dan sumbangannya kepada Portugal selama ini.

Advertisements

“Apa yang dibuat sangat mengecewakan dan memalukan seorang pemain yang telah begitu banyak, seluruh jiwa raganya kepada negara tercinta. Ya, dia tidak lagi menjaringkan gol, dia sudah tua, dia tidak akan bermain untuk selama-lamanya tetapi selagi dia bermain dia tidak boleh disisihkan.

“Semua yang dia buat telah menjadi tidak penting dan sudah dilupakan, kamu semua telah menunjukkan kepada dia bahawa dia sudah tidak diperlukan. Saya tidak tahu mengapa, dan saya tidak dapat memahaminya, tak apa, kita semua akan dapat jawapan daripada Tuhan nanti,” ujar Elma di instagramnya.

Sebagai rekod, pertembungan menentang Switzerland adalah kali pertama Ronaldo diketepikan daripada kesebelasan utama selepas 31 perlawanan. Fernando Santos menurunkan Goncalo Ramos untuk mengisi tempatnya dan pemain muda itu membalas kepercayaan dengan cemerlang apabila meledak hatrik.

Advertisements

Santos menjelaskan dia tiada sebarang isu peribadi dengan Ronaldo dan tindakan itu tidak lebih daripada perancangan taktikalnya, walaupun ada yang berpendapat pengendali itu sebenarnya makan hati dengan reaksi ditunjukkan bekas pemain terbaik dunia itu ketika dikeluarkan pada perlawanan menentang Korea Selatan.

Dalam pada itu, Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF) tampil membuat penafian bahawa Ronaldo yang juga kapten pasukan telah mengugut untuk meninggalkan pasukan di Qatar.

“Ronaldo telah membina rekod yang unik menerusi khidmatnya kepada pasukan kebangsaan dan negara dan situasi ini perlu dihormati,” menurut kenyataan FPF.

Advertisements

Bekas bintang Manchester United itu ketika ini memegang rekod sebagai pemain paling banyak membuat penampilan dan juga sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram