Jurulatih skuad Harimau Malaya memberi petanda bakal ada pemain warisan Malaysia yang ketika ini beraksi di luar negara bakal memperkuat pasukan nanti.
Pada Khamis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam sebuah kenyataan telah mengumumkan senarai 38 pemain yang bakal menyertai kem latihan pusat menjelang dua aksi penting pada Jun.
Daripada senarai tersebut, seramai 28 pemain bakal melapor diri terlebih dahulu pada 18 Mei ini di Johor sebelum diikuti 8 lagi pemain yang bakal turut serta dan dua lagi pada fasa ke-3 pada 1 Jun hadapan.
Walau bagaimanapun, tiada pemain warisan baharu yang diumumkan pada Khamis dengan Peter Cklamovski harap bakal ada pengumuman menyusul tentang pemain ini tidak lama lagi.
Menurut Cklamovski, beberapa pemain warisan baharu bakal tiba tidak lama lagi namun mereka tidak akan mengumumkan lagi pada sidang media hari ini.
”Akan ada peluang besar untuk perkara tersebut (ketibaan pemain warisan baharu) berlaku, kami tidak berada di situasi untuk umumkan itu tetapi saya boleh jamin itu akan berlaku,” ujar Peter Cklamovski.
Tegas beliau lagi, kesemua pemain-pemain warisan ini adalah orang Malaysia yang ketika ini sedang menabur bakti dan mengharumkan nama negara di luar sana.
”Apa yang penting, saya perlu tekankan bahawa mereka adalah orang Malaysia, tetapi beraksi di luar negara,” tambah Peter Cklamovski ketika di sidang media.
Skuad Harimau Malaya ini dijadualkan berdepan negara ke-72 dunia, Cape Verde dalam dua aksi persahabatan terbuka dan tertutup masing-masing pada 29 Mei di Cheras serta 3 Jun di Bukit Jalil.
Dua perlawanan pemanas badan ini diatur sebagai persiapan bagi menghadapi aksi penting Kelayakan Piala Asia berdepan pencabar hebat Malaysia iaitu Vietnam di Bukit Jalil pada 10 Jun nanti.