Bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Matyo memberikan sokongan penuh kepada pasukan Malaysia menjelang pertemuan menentang Korea Selatan bagi aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Asia.
Skuad negara terpaksa melupakan hasrat untuk layak ke pusingan seterusnya selepas tewas dalam 2 perlawanan awal ketika menentang Jordan dan Bahrain tempoh hari.
“Ayuh Malaysiaku Sehati Sejiwa berikan sokongan anda. Insya-Allah Kemenangan Milik Pasukan Malaysia. Aamiin DEMI MALAYSIA.
Tanah Tumpahnya Darahku,” kata Matyo dalam hantaran rasmi di Instagram miliknya.
Matyo mengakui faham dan pernah merasai situasi yang dialami barisan pemain negara ketika ini.
Walaubagaimanapun, beliau menegaskan bahwa sebagai seorang pemain pastinya memerlukan sokongan dan semangat dari para penyokong bukannya kecaman.
Bekas penyerang negara itu sedar dengan teknologi zaman ini, semuanya hanya di hujung jari. Pemain bola sepak zaman sekarang mudah untuk diherdik oleh penyokong.
Beliau berharap agar semua penyokong dapat memberi sokongan penuh dan mendoakan yang terbaik buat Harimau Malaya.
“Saya pernah ada di situasi itu, Mereka hanya perlukan semangat bukan kecaman.
“Saya faham. Zaman saya, saya tidak makan media sosial sekarang rata-rata ada media sosial jadi jagalah jari jemari anda semua. Taip baik-baik buat baik-baik insyaAllah yg baik-baik sahaja berlaku, “ katanya kepada salah seorang peminat di laman Instagram miliknya.
Harimau Malaya bakal bertemu Korea Selatan pada hari khamis ini, 25 Januari jam 7.30 malam waktu Malaysia.