Malaysian Football League (MFL) mengesahkan bahawa telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menangguhkan penggantungan terhadap 7 pemain warisan di peringkat domestik dan benua dengan serta-merta.
Susulan perkembangan terbabit, MFL memaklumkan bahawa 3 pemain warisan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu João Figueiredo, Jon Irazabal dan Héctor Hevel kini kembali dibenarkan untuk beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia.
Kebenaran itu diberikan selari dengan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang meluluskan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) membabitkan 7 pemain warisan Harimau Malaya.
Menurut kenyataan MFL, penangguhan penggantungan yang diputuskan oleh FIFA itu berkuat kuasa serta-merta dan meliputi semua pertandingan di peringkat domestik serta kejohanan benua, sekali gus membolehkan pemain-pemain terlibat meneruskan karier profesional mereka tanpa sebarang sekatan sementara.
Perkembangan ini menyaksikan trio warisan JDT berkenaan kini sah untuk diturunkan oleh kelab dalam saingan Liga Malaysia, sekali gus memberi tambahan pilihan penting kepada skuad Harimau Selatan dalam menghadapi jadual perlawanan yang padat.
Dalam pada itu, MFL turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mematuhi segala keputusan serta arahan rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA dan FAM, sementara menunggu keputusan muktamad rayuan di CAS berkaitan kes tujuh pemain warisan tersebut.
Kelibat Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joa Figueiredo dijangka bakal kembali memeriahkan saingan Liga Malaysia pada aksi Liga Super bertemu Imigresen pada 1 Februari ini di Stadium Sultan Ibrahim.