MFL Gantung & Denda 3 Bekas Kelab Liga Super
MakanBola
MFL

Malaysian Football League (MFL) mengambil keputusan untuk menggantung 3 kelab yang pernah beraksi di Liga Super.

Menerusi pengumuman yang dibuat pada Jumaat, pihak MFL dalam satu kenyataan menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-15 memutuskan untuk mengenakan hukuman penggantungan serta denda kepada 3 kelab iaitu Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC.

Dua bentuk hukuman ini dikenakan kepada 3 buah kelab ini susulan keputusan untuk menarik diri dan kegagalan bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025-2026.

Berdasarkan Perlembagaan MFL, mana-mana kelab yang menarik diri daripada Liga Malaysia tidak akan menerima sebarang manfaat daripada MFL serta larangan daripada aktiviti bola sepak sebagai sekatan ke atas Rakan Kongsi apabila memutuskan status penyingkiran Kelab Rakan Kongsi dan pengurusan Kelab Rakan Kongsi tersebut.

Justeru, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah membuat keputusan untuk menggantung Sri Pahang FC yang telah menarik diri daripada menyertai semua pertandingan anjuran MFL selama satu musim berkuat kuasa bermula musim 2025-2026.

Manakala, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC yang gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan pada musim 2025-2026 pula masing-masing digantung daripada menyertai semua pertandingan anjuran MFL selama dua musim berkuat kuasa bermula musim 2025-2026 sehingga 2026-2027.

Atas kesalahan melanggar Perlembagaan MFL itu juga, ketiga-tiga kelab berkenaan turut dikenakan denda hilang hak ke atas wang agihan secara merit setelah berakhirnya Liga Malaysia 2024-2025.

Untuk rekod, Sri Pahang FC dan Perak FC kini sudah tidak bersaing dalam mana-mana liga bola sepak di Malaysia manakala Kedah Darul Aman FC pula sedang beraksi di Liga A1 Semi Pro.

Claim Money Packet TnG