Kenyataan Rasmi Kedah DA Setelah Sah Beraksi Di Liga A1
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menyifatkan pengesahan beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro sebagai berita baik buat pasukan itu.

Sebelum ini, Amateur Football League (AFL) mengesahkan Kedah DA bakal bersaing dalam liga tersebut untuk musim 2025/26.

Ini bermakna Kedah mempunyai dua wakil dalam pertandingan tersebut. Selain Sang Kenari, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut disahkan beraksi dalam Liga A1.

Pengesahan yang diberi AFL dilihat satu berita baik buat Kedah DA. Ini kerana ini akan membantu pengurusan kelab itu membina asas yang lebih stabil terutama dari segi kewangan.

“Kelayakan ini menjadi kunci utama kepada fasa pemulihan KDA FC selepas langkah awal telah diambil, termasuk pertemuan bersama bekas pemain, usaha melayakkan diri ke Liga Al dan penyusunan semula pelan tindakan kelab,” kata kelab dalam satu kenyataan.

“Dengan wajah baharu pengurusan, KDA FC kini membawa semangat dan iltizam untuk membina semula kelab dengan lebih tersusun, realistik dan bebas daripada sebarang kepentingan selain memartabatkan bola sepak negeri Kedah.

“Segala usaha ini digerakkan atas semangat yang mendalam terhadap sukan bola sepak, dengan fokus memastikan kestabilan kelab dari segi pengurusan, kewangan dan prestasi di atas padang, di samping menjaga kebajikan pihak terlibat serta menyelesaikan perkara-perkara berbangkit secara adil dan telus.”

Kedah DA bakal bersaing dengan 15 pasukan lain untuk merebut gelaran juara Liga A1. Ini termasuk juara Piala MFL 2024/25, Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).