Malaysian Football League (MFL) mengumumkan penggunaan pengadil luar negara bagi mengadili aksi Final Piala Malaysia 2025-2026 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.
Presiden MFL, Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan barisan pengadil antarabangsa terbaik bagi mengendalikan perlawanan berprestij edisi ke-99 itu.
Menurut beliau, MFL memohon empat pengadil luar negara termasuk dua pembantu pengadil serta seorang pengadil VAR bagi memastikan mutu pengadilan berada pada tahap tertinggi selain menjamin integriti dan kelancaran perlawanan akhir.
“Final Piala Malaysia merupakan perlawanan berprofil tinggi dan menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air. Dengan standard pengadilan bertaraf antarabangsa, saya percaya ia mampu meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong,” katanya.
Tambah beliau lagi, kehadiran pengadil luar negara juga mampu membuka ruang pertukaran kepakaran buat pengadil tempatan dalam usaha meningkatkan kualiti pengadilan bola sepak negara.
Dalam masa sama, Ab Ghani menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas cadangan penggunaan pengadil luar negara dibangkitkan ketika sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga pada 29 April lalu.
“MFL sentiasa mendengar pandangan dan cadangan daripada Rakan Kongsi Liga untuk penambahbaikan dalam semua aspek pengelolaan perlawanan. Namun penggunaan pengadil luar negara memerlukan pertimbangan teliti kerana melibatkan kos yang tinggi,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan pengadil antarabangsa bukan sesuatu yang baharu dalam saingan domestik apabila khidmat pengadil dari Jepun pernah digunakan bagi Final Piala FA 2019 melibatkan Kedah Darul Aman FC dan Perak FC.
Final Piala Malaysia 2025-2026 bakal menemukan juara bertahan, JDT dengan Kuching City yang mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke pentas final buat kali pertama.