Advertisements
MFL Menafikan Liga Bermula Lewat Bukan Sebab Stadium JDT, Tapi Kerana ECP
Liga Super
MakanBola

Malaysia Football League (MFL) menafikan dakwaan mengenai pembinaan Stadium Sultan Ibrahim yang menjadi faktor utama saingan Liga Malaysia musim 2020 bermula lewat pada akhir Februari seperti yang berlegar di laman media sosial sejak akhir-akhir ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata demikian ketika majlis menandatangani perjanjian antara MFL dan TM yang menyaksikan syarikat tersebut kembali menjadi penaja rasmi Liga Malaysia musim ini.

Dato’ Ab Ghani menafikan sekeras-kerasnya mengenai tanggapan Stadium Sultan Ibrahim menjadi sebab utama mengapa Liga bermula sedikit lambat dan mengatakan berkata pihaknya harus memberikan penerangan mengenai Economic Control Programme (ECP) kepada pasukan bertanding terlebih dahulu.

ECP MFL Menafikan Liga Bermula Lewat Bukan Sebab Stadium JDT, Tapi Kerana ECP
Dato’ Ab Ghani Hassan di Majlis Menandatangani Perjanjian TM Sebagai Penaja Liga M

“Bukan sebab itu (isu stadium). Liga bermula lambat kerana kita perlu memberi penerangan kepada pasukan bertanding mengenai ECP terlebih dahulu.

“Malah, langkah yang kita ambil ini mendapat pujian daripada pihak luar,” kata Dato’ Ab Ghani.

Liga Malaysia musim 2020 akan membuka tirai pada 28 Februari dimana juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim akan turun menentang juara Piala FA 2019, Kedah bagi merebut Piala Sumbangsih.