Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL), Mustaza Ahmad menyarankan kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) mengutamakan usaha mendapatkan pemain import berkualiti.
Pandangan itu disuarakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM FC itu apabila diminta mengulas tentang saranan beberapa pihak untuk mengurangkan kuota pemain import.
Saranan itu dibuat beberapa kelab dengan faktor kewangan dijadikan sebagai sebab utama. Meskipun begitu, Mustaza tidak melihat kuota pemain import sebagai isu yang dihadapi kelab-kelab.
Sebaliknya, isu ini timbul kerana isu pemilihan pemain import yang dibuat secara tangkap muat. Hal ini bukan saja memberi kesan dari segi kewangan tetapi juga menjejaskan prestasi pasukan dalam liga.
“Bagi saya, sekarang bukan soal banyak atau sedikit kuota pemain import tetapi lebih kepada cara pemilihan pemain itu dibuat.
“Kalau kita tengok, ada kelab yang ambil pemain import lebih ramai tapi prestasi di liga tidak memberangsangkan berbanding kelab yang kurang import, tapi sebenarnya mampu untuk mendaki kedudukan liga lebih baik.
“Kalau pemain yang diambil itu tidak berkualiti, tidak kira berapa ramai pun tapi tetap tidak membantu pasukan, tiada gunanya dan kelab pun tidak diwajibkan untuk penuhkan semua kuota yang ada,” katanya.
Mustaza turut melihat kuota pemain import tidak menghalang pemain-pemain tempatan bersaing dalam kesebelasan utama kelab-kelab Liga Super.
Ini jelas menunjukkan kredibiliti pemain tempatan masih cemerlang meskipun perlu bersaing sengit dengan pemain import.
“Nak dikatakan pemain tempatan dipinggirkan kerana ada ramai pemain import adalah tidak tepat kerana ramai juga pemain tempatan yang menyerlah musim ini seperti Ramadhan Saifullah dan Rodney Celvin yang cemerlang bersama Kuching City FC.
“Ada juga pemain-pemain muda yang cemerlang seperti Ubaidullah Shamsul Fazili dari Terengganu FC serta tonggak Selangor FC, Ahmad Zikri dan Nooa Laine yang bersaing secara sihat dalam kelab masing-masing.
“Penyerang senior tempatan seperti Safawi Rasid juga mempamerkan peningkatan prestasi bersama KL City dengan mengumpul 13 gol setakat ini. Apa yang penting di sini adalah keinginan pemain tempatan untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan masing-masing,” ujarnya.
Soal pengurangan kuota import antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi meja bulat MFL pada April lalu.