Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC kini memiliki pilihan harga tiket menjelang aksi final Unifi Piala Malaysia pada 12 April ini.
Ini selepas Malaysian Football League (MFL) telah menetapkan harga empat kategori tiket yang akan dijual kepada penyokong kedua-dua pasukan.
Penyokong berpeluang mendapatkan tiket kemasukan umum pada harga RM50 dan RM70. Tiket Unifi Premium dan Unifi Grandstand pula masing-masing berharga RM150 dan RM200.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd turut memaklumkan tiada perubahan harga tiket untuk aksi final Unifi Piala Malaysia.
“Kami berharap dengan penetapan harga tiket serta pengumuman lebih awal ini akan memudahkan penyokong-penyokong JDT dan Sri Pahang FC merancang perjalanan untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing,” katanya.
“Bagi memudahkan penyokong-penyokong mendapatkan tiket, urusan penjualan tiket akan diserahkan sepenuhnya kepada pasukan finalis seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
“Proses ini dilihat membolehkan JDT dan Sri Pahang FC dapat menjual tiket kepada penyokong masing-masing secara sistematik dan sama rata.”
JDT berharap dapat mempertahankan gelaran juara yang dirangkul sejak 2022. Sri Pahang pula mahu mengakhiri kemarau kejuaraan Piala Malaysia sejak 2014.