Terengganu Hockey Team (THT) kembali pamer aksi berbisa dengan membelasah pasukan hoki lelaki Liaoning dalam aksi terbaru Liga Hoki Malaysia (MHL) musim 2024.
Selepas kempunan mempertahankan gelaran juara Piala Sumbangsih beberapa hari lalu, THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom mahu bangkit semula.
Dan pasukan dari Pantai Timur itu tidak menunggu lama membuka tirai jaringan pada suku pertama menerusi Akhimullah Anuar Esook seawal minit pertama perlawanan.
Bagaimanapun, keceriaan THT tidak bertahan lama apabila Lin Jie menyamakan kedudukan beberapa minit selepas itu.
Liaoning kemudiannya mendahului menerusi satu lagi pukulan penalti yang disempurnakan Yang Peng pada minit ke-13.
Suku kedua perlawanan menyaksikan penyerang THT, Ismail Abu berjaya menjaringkan gol padang melepasi penjaga gol Liaoning, Qu Zhihao bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-17.
Faizal Saari memastikan THT mendahului Liaoning 3-2 sehingga rehat apabila bola yang ditepis Zhihao berjaya disudahkan pada minit ke-21.
Bersambung pada suku ketiga perlawanan, THT berusaha mencari gol tambahan untuk melebarkan kelebihan mereka.
Bagaimanapun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-45 untuk menambah jaringan menerusi pukulan penalti Akhimullah.
Dengan perlawanan berbaki 15 minit, Liaoning berusaha memburu gol bagi merapatkan jurang dengan juara MHL musim 2023 itu dalam suku keempat perlawanan.
Malangnya, Liaoning berdepan kesukaran menembusi gawang THT yang dikawal Hazrul Faiz Ahmad Sobri.
Sebaliknya, THT semakin selesa mendahului dengan menyumbat gol kelima pada minit ke-53. Gol tersebut disudahkan Faizal menerusi pukulan penalti menewaskan Zhihao.
Keputusan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini membolehkan THT mengumpul empat mata daripada dua perlawanan MHL setakat ini.