Pemain wanita Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17), Puteri Mia Alysa Ahmad Zakiyamani berharap dapat membawa skuad negara layak ke Piala Asia Wanita B-17.
Hasrat itu dizahirkan pemain berusia 15 tahun itu apabila ditanya tentang sasaran pasukan yang dibimbing jurulatih Jepun, Takayoshi Ishihara.
Puteri Mia Alysa melihat sekiranya Malaysia menunjukkan keputusan positif sepanjang kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-17 Kumpulan E, dia percaya sasaran itu mampu dicapai.
Justeru, sesi latihan pusat Malayan Tigress B-17 di Pusat Latihan Kebangsaan (NTC), Putrajaya dilihat medan persiapan terbaik sebelum menghadapi pusingan kelayakan.
“Persiapan kami kini terarah kepada latihan pusat. Sudah pasti, misi para pemain adalah untuk mencapai sasaran pada pusingan kelayakan.
“Saya juga mahu melihat pasukan ini beraksi dengan baik dan mara ke pentas Piala Asia Wanita B-17 2027,” ujarnya kepada BolaKita.
Puteri Mia Alysa turut berharap peminat bola sepak negara dapat hadir beramai-ramai ke Stadium Selayang pada Oktober ini untuk memberi sokongan kepada skuad Malayan Tigress B-17.
“Jangan lupa sokong kami di Stadium Selayang, jumpa anda di sana,” tambahnya.
Malaysia akan membuka kempen Kumpulan E dengan menentang Syria pada 5 Oktober, Iraq (8 Oktober) dan India (11 Oktober). Kesemua perlawanan peringkat kumpulan skuad negara berlangsung pada jam 9.00 malam.
Hanya juara setiap kumpulan saja yang layak secara merit ke Piala Asia Wanita B-17 2027.