Advertisement
Nafuzi Zain Hadir Beri Sokongan Kepada Kedah
Piala Malaysia
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Bekas pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain tampil memberi sokongan kepada pasukan itu untuk aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang KL City FC.

Sebelum ini, jurulatih berusia 46 tahun itu memilih mengundur sebagai pengendali Sang Kenari baru-baru ini. Susulan itu, pengurusan Kedah melantik Victor Andrag sebagai ketua jurulatih interim.

Meskipun beliau tidak lagi bersama Kedah, Nafuzi bukan saja menghargai sokongan semua pihak sepanjang bergelar jurulatih pasukan itu. Malah, beliau berharap penyokong terus setia berdiri di belakang barisan pemain Sang Kenari.

“Buat penyokong yang sentiasa menyokong pasukan KDA FC ketika jatuh dan bangun. Tiada ayat dapat diungkapkan mengenai semangat penyokong.

“Terima kasih kerana sentiasa menyokong. Anda adalah antara penyokong yang hebat demi mempertahankan legasi Kedah Darul Aman. Teruskan berada di belakang pasukan,” katanya.

Kini, beliau hadir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras untuk aksi antara The City Boys dan Kedah. Video kehadiran Nafuzi di stadium itu dikongsikan wartawan Astro Arena, Fatin Ruzeiman.

Beliau dilihat bersalaman dengan beberapa orang penyokong dan beramah mesra dengan mereka sebelum perlawanan bermula. “Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain juga hadir beri semangat,” katanya di X.

Nafuzi bukan satu-satunya figura terkenal yang hadir memberi sokongan kepada Kedah. Pelakon terkenal, Farid Kamil turut hadir bersama anak lelakinya memberi sokongan kepada Sang Kenari.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad pula hadir memberi sokongan kepada KL City.

Ketika ini, The City Boys mendahului 2-0 di Cheras menerusi kapten, Paulo Josue dan pemain sayap Bosnia-Herzegovina, Jovan Motika.