Pengendali PT Athletic FC, Nazrulerwan Makmor melihat kebijaksanaan bahagian serangan membolehkan pasukan itu meraih tiga mata penuh.
Aksi terbaru Liga A1 Semi Pro menemukan PT Athletic dengan pasukan yang menduduki tangga kedua liga, Melaka FC.
Meskipun beraksi sebagai tuan rumah, Melaka disifatkan pasukan pilihan bukan saja kerana masih belum kalah dalam liga. Malah, pasukan itu turut diperkuatkan penjaring terbanyak liga musim 2023, Abdul Azim Rahim.
Keadaan ini menyebabkan jentera pertahanan PT Athletic berdepan tekanan daripada bahagian serangan pelawat yang ingin menambah koleksi gol mereka.
Kegagalan anak buah Devan memanfaatkan peluang yang terhidang dihukum tuan rumah menerusi gol tunggal yang dijaringkan Nurshamil Ghani pada minit ke-44.
Nazrulerwan menyifatkan kebijaksanaan barisan penyerang terutama Nurshamil memberi kelebihan kepada PT Athletic pada akhir perlawanan.
“Ya, kalau kita lihat minggu ini, kita berlatih dengan (fokus kepada) rembatan. Jadi, Shamil (Nurshamil Ghani) telah menggunakan peluang yang terhidang. Jadi, alhamdulillah, kita dapat menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan pada 2 Ogos lalu.
Kemenangan itu menyaksikan PT Athletic mendaki tangga keempat liga dengan 14 mata selepas tujuh perlawanan. Selepas ini, pasukan itu akan turun menentang UiTM United FC pada 10 Ogos ini.