Negeri Sembilan FC menyatakan minat mereka untuk memohon semula geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggantikan padang Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Perkara ini dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sang Rusa, Faliq Firdaus dalam sesi meja bulat Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini.
Faliq memaklumkan Negeri Sembilan tidak dapat memohon geran tersebut pada tahun lalu disebabkan beberapa faktor termasuk kekangan kewangan.
Justeru, seandainya geran tersebut ditawarkan pada 2026, pengurusan Sang Rusa sedia memohon semula bagi membantu proses penaiktarafan padang STAR.
“Tahun lepas kami tidak ambil (geran KBS) pada ketika itu kerana kami tak bersedia. Kami kena fikirkan soal penyelenggaraan selain ada hutang yang perlu diselesaikan.
“Tapi sejujurnya jika (geran KBS) ditawarkan pada tahun ini, Insya Allah kita akan ambil,” katanya.
Faliq turut memaklumkan pengurusan Negeri Sembilan juga telah mula menaik taraf kemudahan di STAR termasuk bilik persalinan. Kerja penaiktarafan bilik persalinan STAR dijangka siap pada Julai ini.
“Kerajaan negeri menerusi pengerusi kami (Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun), bilik persalinan kami sedang diubahsuai.
“Dan akan siap pada Julai, (sebelum) perlawanan Malaysia menentang Laos. Kemudian untuk lampu limpah, kami akan cuba capai kepada 2,000 luks,” tambahnya.
Perkembangan ini dijangka menggembirakan penyokong Negeri Sembilan untuk terus memberi sokongan padu kepada pasukan itu di stadium keramat mereka, STAR.