Negeri Sembilan Jalin Kerjasama Dengan Warrix
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan pengeluar pakaian sukan dari Thailand, Warrix.

Kerjasama ini dimeterai menerusi satu majlis menandatangani perjanjian tersebut yang diadakan di Warrix Flagship Store, Siam Square, Bangkok.

Majlis dihadiri pengerusi pasukan merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), YTM KOL (K) Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Ia turut disaksikan oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden PBNS, Dato’ Haji Mustapha bin Nagoor.

Turut sama hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Warrix, Wisan Wanasaksrisakul, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus dan Pengarah Universal Sports Sdn. Bhd., Tan Peng Koon yang merupakan pengedar rasmi jenama Warrix di Malaysia.

Faliq menyifatkan jalinan kerjasama dengan Warrix mampu menaikkan nilai komersial Sang Rusa dan menyuntik semangat baru buat pemain di atas padang.

“Jalinan kerjasama ini bukan sahaja membabitkan penajaan kit rasmi pasukan, malah turut memberikan manfaat dari segi pemasaran dan komersial yang amat diperlukan untuk kita terus berdaya saing dalam arena bola sepak tempatan yang kian mencabar.

“Pemilihan Warrix sebagai penaja kit rasmi juga seiring dengan matlamat kelab untuk memperkasa pembangunan perniagaan, yang juga merupakan salah satu daripada enam teras pembangunan semula kelab,” katanya.

Wisan pula menyifatkan kerjasama dengan Negeri Sembilan mampu memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.

“Ini merupakan kali pertama kerjasama seumpama ini dijalinkan dengan kelab bola sepak di Malaysia selepas kali terakhir kami berada dalam pasaran Malaysia lima tahun lalu.

“Saya, bagi pihak Warrix, amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan NSFC dan berharap kerjasama ini bukan sahaja dapat mengembangkan pasaran Warrix di Malaysia, malah membantu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Negeri Sembilan,” ujarnya.

Kerjsama ini bakal bermula pada musim 2025/26 selepas tamat kerjasama Sang Rusa dengan pembuat pakaian sukan Sepanyol, Kelme.

Ini bukan kali pertama Warrix menjadi pembuat jersi pasukan Liga Malaysia (Liga M). Sebelum ini, pembuat pakaian sukan Thailand itu pernah bekerjasama dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Melaka United FC.

Selain pasukan kebangsaan Thailand, Warrix turut menjadi pembuat kit rasmi untuk Phnom Penh Crown dan BG Tampines Rovers.