Negeri Sembilan Juarai Piala Serumpun, Tewaskan Hougang United
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC muncul juara Piala Serumpun dengan menewaskan kelab Singapura, Hougang United di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.

Aksi ini merupakan aksi pemanas badan terakhir buat anak buah Daniel Gimenez sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) membuka tirai musim 2026/27.

Meskipun berstatus aksi persahabatan, kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat. Hougang yang dipimpin Akbar Nawas mempertaruhkan gandingan Arya Igami, Ayman Kassimi dan Connor Flynn-Gillespie di bahagian serangan.

Gimenez pula mempertaruhkan gandingan pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid, Abdul Rahman Daud, Jovan Motika dan Takumi Sasaki untuk merobek gawang kelab Singapura itu.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut memecah kebuntuan dalam perlawanan yang berlangsung pada petang Sabtu.

Perlawanan ini diadakan pada waktu petang susulan kerja-kerja penaiktarafan lampu limpah STAR. Kesukaran kedua-dua pasukan mencari gol menyebabkan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Hougang terlebih dahulu di hadapan menerusi Lucas Soares pada minit ke-57. Kelebihan pelawat hanya bertahan selama seminit apabila Akhyar menjaringkan gol penyamaan buat Negeri Sembilan.

Sasaki muncul wira buat Sang Rusa dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-78. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini dijangka membakar semangat Negeri Sembilan menjelang aksi pertama liga menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 22 Ogos ini.