Negeri Sembilan Pertaruh 5 Import Hadapi Musim 2023
Dunia
Negeri Sembilan FC
Advertisements

Tidak seperti sesetengah pasukan Liga Super yang merekrut ramai pemain import, Negeri Sembilan mengambil pendekatan berhemah. Untuk musim 2023, skuad kendalian K. Devan itu hanya membawa masuk lima pemain import selain 14 orang pemain baru tempatan.

Devan yang juga pengurus pasukan menyatakan pengambilan pemain import akan ditentukan oleh kemampuan kewangan pasukan.

Pada masa sama, identiti-identiti pemain import yang dikenal pasti dapat membantu skuad Hoben Jang Hoben masih dirahsiakan sementara menunggu kelulusan pengurusan tertinggi kelab.

Advertisements

“Memang kita dalam proses (mendapatkan barisan pemain import), malah kita juga sudah kenal pasti kesemua pemain berkenaan yang akan dibawa masuk dalam pembentukan pasukan baharu bagi menghadapi saingan musim ini.

“Saya mengharapkan pihak pengurusan tertinggi pasukan akan membuat keputusan dan mengumumkan pemain berkenaan, dalam masa terdekat.

“Daripada segi kuota pemain import, ia akan bergantung kepada kemampuan kewangan pasukan namun sekurang-kurangnya kita memerlukan lima pemain import dengan setakat ini mungkin seorang pemain musim lalu dikekalkan,” katanya.

Advertisements

Negeri Sembilan ketika ini dikaitkan dengan dua pemain import iaitu bekas penyerang Sri Pahang, Matias Conti dan bekas pemain tengah Kedah, Mahmoud Al-Mardi.

Mengakui skuad Rusa telah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain, Devan bagaimanapun memberitahu penyertaan Mahmoud dan Conti hanya akan diketahui selepas pengurusan tertinggi Negeri Sembilan bermesyuarat pada minggu hadapan.

“Memang ada perbincangan dibuat dengan kedua-dua pemain ini, tapi keputusan akan dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi NSFC kerana ia akan bergantung kepada kemampuan kewangan pasukan,” tambahnya.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram