Negeri Sembilan Sekat Ultras Selangor Hadir Ke Paroi
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC mengambil langkah menyekat kehadiran Ultras Selangor untuk aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor FC di Paroi.

Perkara ini dinyatakan pengurusan Sang Rusa menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu.

Negeri Sembilan mengambil kira pengumuman yang dibuat pengurusan Selangor FC berhubung larangan kehadiran Ultras Selangor ke stadium dari 8 hingga 22 Februari ini.

Atas sebab itu, pengurusan Sang Rusa memaklumkan ahli Ultras Selangor yang memegang pas bermusim pasukan itu tidak dibenarkan masuk ke Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.

“Sebagai sebuah kelab yang menitikberatkan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan orang awam, pihak NSFC menghormati keputusan yang telah diambil oleh Selangor FC dan bersedia untuk memberikan kerjasama penuh demi memastikan perlawanan berlangsung dalam suasana yang selamat, terkawal dan positif untuk semua pihak yang terlibat, termasuk penyokong, pemain serta pegawai perlawanan.

“Keputusan ini bukan sekadar memenuhi permintaan pasukan pelawat, tetapi satu manifestasi prinsip kami dalam mempertahankan nilai murni bola sepak tanah air,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Negeri Sembilan turut menyeru penyokong yang hadir bukan saja mempamerkan sokongan setia kepada pasukan itu. Malah, mereka juga diminta menunjukkan teladan yang baik bila berada di STAR.