Ultras Selangor Dilarang Hadir 3 Perlawanan
MakanBola
Selangor FC

Ultras Selangor dikenakan larangan menghadiri tiga aksi Selangor FC yang seterusnya.

Hal ini diumumkan pengurusan Merah Kuning menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu.

Pengurusan kelab menjunjung kasih titah perintah dan cadangan DYMM Sultan Selangor selaku Penaung Diraja Selangor.

Pengurusan Merah Kuning juga mengambil kira nasihat dan pandangan DYTM Raja Muda Selangor selaku pengerusi kelab berhubung insiden membabitkan Ultras Selangor pada 1 Februari lalu.

Lantaran itu, Selangor memaklumkan Ultras Selangor tidak dibenarkan hadir untuk tiga aksi seterusnya dari 8 hingga 22 Februari.

Larangan ini terpakai bukan saja kepada dua aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC. Malah, ia juga terpakai kepada aksi Liga Super menentang Kuching City FC.

Selain itu, pengurusan Selangor turut memaklumkan individu yang disabitkan dengan dakwaan penyalahgunaan dan pemilikan dadah juga dilarang hadir ke stadium selama tiga tahun berkuatkuasa serta-merta.

Pengurusan Merah Kuning percaya Ultra Selangor akan mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan berharap mereka akan kembali ke Stadium MBPJ dengan semangat baharu.

“Selangor FC juga menyeru agar semua penyokong terus menyokong kelab secara bertanggungjawab dan saling menghormati untuk memelihara keselamatan awam, imej kelab dan masa depan bola sepak tempatan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Selangor meneruskan kempen Piala Malaysia dengan turun menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir pertama di Paroi pada Ahad.