Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, telah mencapai persetujuan bersama untuk berpisah berkuat kuasa 30 Jun 2026.
Perkara itu dimuktamadkan hasil perbincangan antara kedua-dua pihak, dengan BAM dan Tze Yong bersetuju bahawa keputusan tersebut adalah yang terbaik bagi pemain berusia 26 tahun itu dalam meneruskan fasa seterusnya dalam karier profesionalnya.
Tze Yong pernah mencapai ranking tertinggi dunia No. 14 pada November 2023, selain meraih beberapa pencapaian bersama skuad negara termasuk pingat perak acara perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2022, pingat emas berpasukan campuran Sukan Komanwel 2022, emas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 serta gangsa Piala Sudirman 2021 dan 2023.
Namun, perjalanan kariernya terjejas akibat beberapa siri kecederaan, termasuk kecederaan belakang pada 2024 dan kecederaan ACL pada 2025 yang memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan panjang, sekali gus mengganggu momentum peningkatan prestasinya.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Tze Yong sepanjang bersama badan induk itu.
“Beliau merupakan antara pemain penting skuad negara dan telah mewakili Malaysia dengan penuh kebanggaan di pentas antarabangsa. Walaupun kecederaan mengganggu perkembangannya, ketabahan beliau melalui proses pemulihan amat dihargai.
Selepas perbincangan mendalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini adalah jalan terbaik pada tahap kariernya ketika ini. Pihak BAM mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau dan mendoakan kejayaan masa depannya,” katanya.
Ng Tze Yong turut menzahirkan penghargaan kepada BAM, jurulatih, barisan sokongan serta rakan sepasukan yang banyak membantu sepanjang perjalanan kariernya bersama skuad kebangsaan.
Beliau kini memberi fokus utama kepada proses pemulihan serta usaha untuk kembali cergas sepenuhnya sebelum kembali ke gelanggang, selain menantikan fasa baharu dalam karier profesionalnya.