Nidzam Jamil: Itu Beza Negeri Sembilan & JDT
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Nidzam Jamil mengakui salah satu perbezaan ketara ketika menentang JDT menjadi pemisah buat Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan terpaksa akur tumpas 0-1 kepada JDT hasil jaringan Manuel Hidalgo di masa kecederaan meskipun tuan rumah beraksi cukup ampuh sepanjang 90 minit permainan.

Menurut Nidzam Jamil, tahap konsentrasi di tahap tertinggi seperti bertemu JDT amat diperlukan dan perkara itu dilihat sebagai satu perbezaan ketara antara pemainnya dan lawan.

“Tahap tertinggi dalam bola sepak seperti ini memerlukan konsentrasi yang bagus dari satu minit ke satu minit. Ada satu ketika, itu yang membezakan Negeri Sembilan dan JDT,” jelas Nidzam Jamil.

”JDT dah melalui perkembangan yang amat bagus, walaupun sudah minit ke-90, mereka masih kekalkan intensiti sama dan kita berusaha untuk mengekang ancaman serangan mereka.”

Ditanya mengenai isu tambahan masa yang diberikan oleh pengadil, Nidzam Jamil enggan memperbesar hal tersebut sebaliknya mahu fokus kepada perkara yang boleh dikawal seperti cara pemainnya beraksi.

”Cuma, bukan isu masa tambahan (sampai) 9, 10 atau 12 minit tapi isunya kita perlu kekal fokus (kerana) kita tidak boleh kawal pengadil dan suasana,” jelas Nidzam Jamil lagi.

”Apa yang kita boleh kawal adalah cara kami bermain dan bagaimana cara nak tamatkan aksi dengan mengutip satu mata, itu sahaja isunya.”

”Pahit tapi (sebab) kita belajar dengan JDT, saya rasa ini pengajaran berguna,” tambah beliau.

Kekalahan ini meletakkan Negeri Sembilan di tangga ke-6 Liga Super setakat ini dengan mengumpul 17 mata tatkala JDT pula terus gah di takhta hasil 14 kemenangan bersih.

Selepas ini, Negeri Sembilan bakal bertandang ke Stadium MBPJ untuk berdepan Negeri Sembilan manakala JDT pula akan kembali ke gelanggang sendiri bagi menanti kunjungan Kuching City.