Nilai pasaran bintang baharu Selangor FC mengejutkan selepas turun dengan agak besar tatkala baru diumumkan sebagai pemain kelab tersebut.
Pemain yang dimaksudkan itu ialah penyerang berbisa pasukan, Ronnie Fernandez yang menjadi bintang import kedua selepas pertahanan Uzbekistan, Umar Esmurodov.
Pemain kelahiran Chile ini datang dengan reputasi hebat termasuklah pernah membantu negaranya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia bagi kontinen Amerika Selatan Kumpulan A menentang Uruguay dan Brazil pada bulan Mac 2022.
Beliau juga telah dipanggil menyertai La Roja (The Red One), nama panggilan skuad Chile dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan Jun menentang Korea Selatan, Tunisia dan Ghana.
Namun begitu, menerusi perkongsian oleh laman Transfermarkt, nilai pasaran pemain berusia 32 tahun itu jatuh merudum bagi tahun ini.
Bekas bintang Santiago Wanderes ini dinilai pada 500 ribu Euro (RM2.54 juta) pada bulan Jun 2023 namun menurun kepada 450 ribu Euro (RM2.29 juta) pada awal tahun ini.
Selangor juga baru mengumumkan ketibaan pemain sayap sensasi Cape Verde, Alvin Fortes untuk memperkuat pasukan.
Menurut Ronnie, tahun 2024/2025 akan menjadi musim pertama Ronnie beraksi di Malaysia.
“Ini kali pertama saya datang ke Asia Tenggara. Saya amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada Selangor FC. Apa yang saya tahu tentang kelab besar ini ialah sejarah besarnya dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pasukan.”
“Saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan dalam mendapat musim terbaik untuk 2024/2025 dalam Liga Malaysia dan ACL 2,” kata Ronnie.