‘No Khuzaimi No Party’

Khuzaimi HM ‘No Khuzaimi No Party’
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
9:59pm 26/03/2022

Ketiadaan pertahanan tengah Harimau Malaya, Khuzaimi Piee jelas memberi kelompongan yang cukup besar buat Malaysia apabila dihukum oleh Singapura dengan keputusan 2-1.

Pemain berusia 28 tahun itu diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan ketika menentang Filipina yang menyaksikan pasukan negara menang dengan keputusan 2-0.

Sungguhpun ia merupakan kaps keduanya, beliau tetap menampilkan aksi yang cukup meyakinkan.

Bukan itu sahaja, beliau berjaya mencatatkan rekod dengan melakukan 10 halangan ketika menentang The Azkals sekaligus menjadi pemain terbanyak melakukannya dalam perlawanan tersebut.

Bekas pertahanan Melaka United ini juga membentuk gandingan yang cukup baik bersama Shahrul Saad di pertahanan tengah.

Malah, Khuzaimi juga sentiasa membentuk persefahaman dengan pemain pertahanan kiri, La’Vere Corbin-Ong yang menyaksikan bahagian kiri Harimau Malaya gagal digugat oleh barisan serangan Filipina.

Dalam perlawanan menentang Singapura malam ini, Kim Pan-gon mempertaruhkan kapten pasukan, Aidil Zafuan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Khuzaimi.

Singapura jelas memanfaatkan situasi tersebut dengan melakukan hantaran-hantaran jauh yang berkualiti untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Harimau Malaya.

Hal ini terbukti apabila pasukan kendalian Nazri Nasir memperoleh jaringan menerusi penyerang muda berbisa, Ikhsan Fandi pada minit ke-30.

Bersambung pada separuh masa kedua, Singapura terus memanfaatkan peluang dengan hantaran-hantaran berkualiti namun ketenangan barisan pertahanan mengawal keadaan.

Ikhsan Fandi terus memanfaatkan kealpaan barisan pertahanan Harimau Malaya apabila gerakan lincah di bahagian kiri padang gagal disekat sebelum melepaskan satu rembatan melepasi kawalan Farizal Marlias.

Ketiadaan Khuzaimi jelas memberi kesan kepada barisan pertahanan yang dilihat sedikit goyah sungguhpun berjaya mengekang asakan bertali arus pasukan tuan rumah.

Malaysia bakal mengakhiri perlawanan persahabatan menentang Albirex Nigata pada Isnin ini.