Norhafiz Zamani Misbah Pulangkan RM15 Ribu, Tuntut Wang Penuh Daripada KAFA
Dunia
Advertisements

Pemain Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah telah menuntut pembayaran wang penuh daripada KAFA ekoran gajinya yang tertunggak sehingga kini.

“Gaji saya sudah lama tertunggak. Malah KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) banyak kali berjanji untuk menyelesaikan tunggakan itu tapi hingga sekarang tiada perkembangan,” kata bekas pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah.

Pemain skuad Hobin Jang Hobin yang berusia 38 tahun itu berkata, dia pernah membawa kes itu kepada jawatankuasa status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (FDAM) pada 24 Mei lalu.

Advertisements

“Dalam keputusan yang dibuat jawatankuasa FAM, pihak terbabit mengarahkan KAFA membuat pembayaran tunggakan gaji saya yang berjumlah RM82,261.67 dalam tempoh 30 hari. Bagaimanapun, selepas tempoh itu tamat, KAFA belum membuat pembayaran dan saya sudah beberapa kali berhubung dengan persatuan itu bagi mencari jalan penyelesaian, namun gagal mencapai kata sepakat,” katanya.

Mengulas lanjut, pertahanan berpengalaman itu yang pernah bersama Pulau Pinang pada musim 2018, berkata, pada 27 November lalu, KAFA ada mendepositkan wang sebanyak RM15,000 ke dalam akaunnya.

“KAFA memasukkan wang itu tanpa pengetahuan dan persetujuan saya dan saya pun tidak faham kenapa hanya RM15,000 sedangkan tunggakan gaji yang belum dibayar berjumlah lebih RM80,000.

Advertisements

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak pernah bersetuju untuk sebarang pengurangan mahupun bayaran secara ansuran,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Menurut Norhafiz, pihaknya khuatir sekiranya KAFA menunjukkan transaksi itu sebagai ‘bukti’ pembayaran kepadanya bagi membolehkan mereka mendapat kebenaran FAM atau mendapatkan kelonggaran untuk bersaing di Liga Perdana musim depan.

Sehubungan itu, sehari selepas itu (28 November), dia memulangkan semula wang RM15,000 itu ke dalam akaun KAFA.

Advertisements

Katanya, hingga kini, KAFA masih belum menunjukkan sebarang usaha meyakinkan untuk membuat bayaran tunggakan gajinya.

“Saya tidak berniat untuk menjejaskan mana-mana pihak dan terpaksa luahkan kepada media sebagai jalan terakhir. Namun, saya berharap FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat bertindak serius dalam perkara ini kerana saya melihat KAFA tanpa segan silu mengambil pemain baharu,” katanya.

Norhafiz telah memulakan kariernya bersama pasukan Kelantan The Red Warrior selama 3 musim bermula pada tahun 2015 dan sehingga kini bayaran penuh gajinya masih belum selesai.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram