Olahragawati Uni Malaya (UM), Nur Humaira Abd Karim meletakkan sasaran realistik bagi musim 2024 setelah menggapai kejayaan manis di tahun 2023.
Beliau yang ditemui ketika Anugerah Sukan Universiti Malaya (ASUM) berkata, bagi musim 2024 ini, beliau dan rakan sepasukannya yang lain menyasarkan untuk berada di kedudukan lapan terbaik baik di peringkat asia dan di kejohanan dunia nanti.
”Sasaran kami adalah lapan terbaik di Asia, kalau kejohanan dunia pun sama (lapan terbaik),” katanya kepada media.
Tambah Mahasiswa Sarjana Muda Pengurusan Sukan ini lagi, beliau tidak menjangkakan bakal meraih anugerah ini buat kali kedua setelah kali pertama beliau meraih anugerah ini pada tahun 2021-2022.
“Tak sangka, sebab saya tengok sekarang mahasiswa universiti ada yang dah wakil ke Sukan Asia dan lain-lain,” ujar atlet berusia 22 tahun ini.
”Ini tahun ketiga saya di sini (Universiti Malaya) dan tahun 2021-2022 saya juga (Olahragawati UM) jadi saya tak sangka dapat lagi.”
Atlet kelahiran Bintulu, Sarawak ini berharap anugerah yang diterima ini dapat menjadi pembakar semangat buat dirinya bagi meraih lebih banyak kejayaan dengan kejohanan di peringkat Asia dan Dunia balal tiba tidak lama lagi.
”Kejohanan seterusnya adalah di Vietnam pada bulan enam, kejohanan Asia dan kemudiannya pada hujung tahun ini kami ada kejohanan dunia juga. Sekarang kami sedang fokus pada sesi latihan dan rasanya anugerah ini dapat naikkan semangat saya.”
Pada majlis anugerah ini, Humaira dinobatkan sebagai Olahragawati Universiti Malaya di atas kejayaan beliau memenangi pingat emas di Sukan SEA 2023 yang lalu dalam kategori Poomsae Individu Wanita.
Manakala bagi Anugerah Olahragawan Universiti Malaya disandang oleh atlet olahraga, Wan Muhammad Fazri yang meraih pingat gangsa di Sukan SEA 2023 menerusi acara 800 meter.