Atlet olahraga Malaysia, Wan Fazri Wan Zahari berharap dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam temasya Sukan Universiti ASEAN yang lalu.
Hasrat ini dinyatakan beliau kepada media selepas Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya 2023 yang berlangsung semalam.
Wan Fazri meraih pingat emas untuk acara lari 800 meter di temasya yang diadakan di Ubon Ratchathani, Thailand pada 2022.
Beliau merekodkan catatan masa 1:54.82 di hadapan pesaingnya dari Indonesia dan Thailand yang masing-masing meraih pingat perak dan pingat gangsa.
Dengan sasaran layak ke Sukan Olimpik 2024 disifatkan terlalu tinggi, Wan Fazri melihat Sukan Universiti ASEAN 2024 sebagai pentas untuk terus mengharumkan nama negara.
“Kejohanan besar tahun ini (bukan Sukan) Olimpik sebab terlalu tinggi. Jadi, di peringkat universiti, ada Sukan Universiti ASEAN. Jadi, itu fokus saya untuk tahun ini.
“Memandangkan saya sudah memenangi (acara lari 800 meter) Sukan Universiti ASEAN sebelum ini, jadi harapan saya ialah mengekalkan pingat emas,” katanya.
Majlis semalam turut menyaksikan Wan Fazri dinobatkan sebagai Olahragawan Universiti Malaya 2023. Sementara atlet taekwondo negara, Nur Humaira Karim dinobatkan sebagai Olahragawati Universiti Malaya 2023.