Hajat beregu wanita Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah layak ke suku akhir Sukan Olimpik 2024 menjadi kenyataan.
Ini selepas beregu wanita ke-13 dunia itu berjaya mengalahkan regu wanita dari Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam aksi terakhir Kumpulan A.
Selepas meraih kemenangan ke atas Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara pada 28 Julai lalu, mereka bukan saja perlu menang ke atas Apriyani-Siti Fadia.
Malah, Pearly-Thinaah juga perlu menang perlawanan hari ini secara straight set sekiranya ingin mengiringi beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan ke suku akhir.
Kali terakhir kedua-dua beregu berentap ialah saingan Indonesia Open 2024. Pearly-Thinaah berjaya mengatasi cabaran Apriyani-Siti Fadia dengan keputusan 21-18, 21-19.
Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu memberi saingan sengit dalam mendapatkan mata. Pearly-Thinaah kemudiannya mendahului pada kedudukan 11-9.
Meskipun Apriyani-Siti Fadia berusaha memberi tentangan, beregu wanita negara kekal unggul sebelum meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-18.
Set kedua menyaksikan bekas juara Hong Kong Open 2023 itu berusaha untuk bangkit. Pada satu ketika, Apriyani-Siti Fadia mendahului pada kedudukan 6-4.
Walau bagaimanapun, Pearly-Thinaah berjaya mengejar sebelum mendahului pada kedudukan 11-8. Kelebihan itu terus dilebarkan sehingga mereka meraih kemenangan 21-9.
Kemenangan ini membolehkan Pearly-Thinaah mengiringi Qing Chen-Yi Fan selaku naib juara Kumpulan A.