Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kejayaan menewaskan PT Athletic 4-0 merupakan kejayaan buat anak buahnya dan bukan untuk dirinya.
Aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang kelab Liga A1 Semi-Pro itu merupakan aksi terakhir Kim Swee selaku jurulatih Sang Badak.
Ini selepas jurulatih berusia 53 tahun itu memilih untuk mengundur diri apabila kontraknya berakhir pada penghujung November ini.
Sang Badak menyumbat empat gol menerusi Saddil Ramdani, Danial Haqim Draman, Daniel Ting dan gol sendiri Yusri Yuhasmadi.
Kim Swee melihat kemenangan dalam aksi berkenaan diharap dapat diteruskan Sang Badak baik dalam saingan Piala Malaysia mahupun Liga Super.
“Saya rasa ini satu kejayaan bukan untuk saya tetapi kejayaan buat semua pemain. Walaupun kita tidak bermula dengan begitu baik tetapi saya percaya mereka bangkit terutamanya dalam empat perlawanan lepas.
‘Seperti mana kita mendapatkan kemenangan berturut-turut termasuk pada malam ini. Saya harap mereka dapat meneruskan persembahan mereka selepas ini dengan momentum yang lebih baik dalam Piala Malaysia mahupun liga,” katanya selepas perlawanan.
Ramai peminat bola sepak negara tertanya-tanya ke mana destinasi Kim Swee selepas ini. Ini selepas wujud khabar angin yang mengaitkan beliau dengan kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo.
Sabah bakal berdepan PT Athletic buat kali kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 27 November. Ini disebabkan Stadium Likas tidak dapat digunakan kerana dijadikan gelanggang South East Asean (SEA) Youth Athletic Championship 2024.