PDRM semakin meraih momentum positif dalam saingan Liga Super setelah merekodkan 4 mata dalam 2 perlawanan terakhir liga.
Anak buah kendalian P. Maniam berjaya mengikat gergasi Liga Super, JDT pada 31 Julai lalu dan seterusnya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 untuk mengutip 3 mata penting.
Aksi di laman sendiri menentang KL City kini menjadi fokus ketua jurulatih PDRM itu dalam memastikan para pemain bersedia menerima tentangan pelawat.
“Kalau kita tengok kita belum menang lagi di Selayang. Jadi saya dan pihak pengurusan tak mahu beri tekanan kepada pemain PDRM.
“Kami sentiasa ingatkan pemain agar tunjukkan tahap yang bagus dan permainan yang berbeza. Itu yang kami tekankan.
“Selepas kita kutip 1 mata berdepan JDT, saya rasa pemain PDRM begitu yakin dan semasa latihan juga bersemangat untuk teruskan perjuangan pasukan.
“Sudah tentu kita ingin jaringkan gol dan cipta peluang. Perkara paling penting ialah prestasi pemain di atas padang nanti.” ujar P. Maniam sewaktu ditemu ramah Astro Arena.
PDRM berada di kedudukan ke-7 liga dengan mengumpul 8 mata hasil 2 kemenangan, 2 seri dan 3 kekalahan dalam 7 perlawanan Liga Super.
PDRM bakal turun menerima tentangan KL City dengan skuad ampuh setelah hanya seorang pemain tidak dapat beraksi ekoran kecederaan iaitu Chidi Osuchukwu.