Advertisements
Aura ‘Kimball’ Pan-gon Jadi Punca Aksi Lain Macam Corbin-Ong
Dunia
MakanBola
FA Malaysia

Pemain pertahanan kiri Harimau Malaya, La’Vere Corbin-Ong membuktikan wataknya amat penting dalam pasukan bimbingan Kim Pan-gon apabila membantu pasukan untuk mencatatkan kemenangan 2-0 menentang Filipina semalam.

Beliau yang kini sudah pun berusia 30 tahun membuktikan kehadirannya di bahagian pertahanan kiri kelihatan begitu ampuh dan sering membuatkan barisan serangan lawan menjadi buntu.

Corbin membuktikan bahawa dirinya dalam kelas yang tersendiri apabila larian-larian derasnya untuk membantu barisan serangan telah membawa kepada jaringan gol buat Malaysia.

Gol pertama pasukan kendalian Kim Pan-gon bermula daripada satu serangan balas yang dimulakan oleh beliau apabila ketenangannya mengawal bola dimanfaatkan sebelum satu lorongan cantik kepada Akhyar Rasid.

Rakan sepasukannya di JDT itu dengan tenang mengawal bola untuk memperdaya pertahanan Filipina sebelum melakukan satu rembatan deras melepasi kawalan penjaga gol, Neil Etheridge seawal minit ketiga permainan.

Kekebalan bekas pemain Go Ahead Eagles ini merantai barisan serangan Filipina selain membentuk persefahaman yang cukup baik bersama Khuzaimi Piee jelas menjadi kunci kepada kemenangan Malaysia malam ini.

Corbin-Ong menampilkan aksi bertenaga ketika beliau gemar menekan lawan dan tidak memberi ruang buat Filipina untuk memulakan langkah untuk mengatur serangan.

Kemampuan luar biasa Corbin untuk terus menekan lawan selain turun untuk kembali mengawal posisinya dengan sangat cemerlang telah menyukarkan pasukan The Azkals pada malam semalam.

Gandingan bersama Dion Cools yang beraksi di pertahanan kanan jelas telah merencatkan perancangan Filipina yang seakan hilang arah dengan kemampuan kedua-dua pemain ini di atas padang.

Harimau Malaya akan turun sekali lagi pada Sabtu ini untuk menentang pasukan Singapura dalam usaha untuk membentuk persefahaman dan juga mengekalkan rentak kemenangan pasukan.

Related Articles