Bekas Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo kini dilaporkan berminat untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai Pengendali India.
Jurulatih berusia 66 tahun itu difahamkan menerima sekitar 214 permohonan untuk mengisi jawatan tersebut setelah berpisah dengan pengendali terdahulu, Igor Stimac.
Laporan daripada media India, Times of India memaklumkan bahawa Park Hang-seo antara calon yang sedang dikenal pasti untuk melatih pasukan tersebut.
Hal ini susulan prestasi hambar sejak kebelakangan ini terutamanya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila tidak layak ke pusingan ketiga.
“Kami (AIFF) tidak lagi mencari calon lain sehingga tarikh tutup. Kami akan menyusun senarai pemohon dan kategorikannya untuk proses selanjutnya,” ujarnya.

Antara pencapaian hebat individu dari Korea Selatan ini termasuklah ke peringkat suku akhir Piala Asia 2019 namun tunduk kepada Jepun dengan keputusan 1-0.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pernah memaklumkan bahawa Park Hang-seo berminat untuk melatih Harimau Malaya.
“Untuk pengetahuan anda, Park Hang-seo sudah hampir nak datang (ke Malaysia ketika itu). Dia sudah (nyatakan keinginan) masa temuduga dengan saya, dia sanggup nak pecah kontrak untuk datang.
“Dan dia nak datang dan minat melatih pemain-pemain naturalisasi Malaysia. Malaysia kata dia (merupakan) pasukan berkualiti, ada Corbin (Ong), ada (Mohamadou) Sumareh, kita ada semuanya,” jelasnya.