Perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 Indonesia-Vietnam dijangka panas esok. Ia bukan saja disebabkan isu keselamatan Stadium Gelora Bung Karno tetapi komen pedas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo terhadap tuan rumah yang mengubah waktu perlawanan esok.
Sepatutnya, waktu perlawanan separuh akhir pertama ialah 8.30 malam. Tetapi Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengubah waktu perlawanan dari 8.30 malam kepada 5.30 petang atas alasan membantu polis mengawal penyokong dan mengelak berulangnya tragedi Kanjuruhan.
Begitupun, perubahan waktu perlawanan tersebut mengundang rasa tidak puas hati Hang-seo. “Ia bukan sesuatu yang baik untuk menjadualkan semula perlawanan atas sebab keselamatan.
“Indonesia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun tahun ini dan jika mereka mengubah masa hanya disebabkan oleh alasan keselamatan, maka mereka perlu mempertimbangkan hal itu semula,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan Indonesia-Vietnam hari ini.
Hang-seo mempunyai sebab kukuh untuk marah. Ini kerana Vietnam tidak mempunyai banyak masa untuk berehat selepas terbang dari Hanoi ke Ho Chi Minh City sebelum ke Jakarta. Selain itu, hujan lebat turut mengakibatkan mereka hanya berlatih sekali pada tengah hari Khamis sebagai persediaan perlawanan.
Tetapi PSSI menerusi Setiausaha Agungnya, Yunus Nusi menegaskan perubahan dibuat selepas menerima nasihat polis. Malah, waktu perlawanan kumpulan A membabitkan Kemboja dan Thailand sebelum ini juga diubah atas sebab sama.
“Sesuai dengan kebenaran polis, perlawanan separuh akhir pertama Timnas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 4.30 petang WIB (5.30 petang waktu Malaysia),” katanya. Yunus menambah polis masih tidak mengizinkan perlawanan diadakan pada waktu malam susulan tragedi Kanjuruhan.