Park Hang-seo Mahu Balas Dendam Kepada Thailand

Park hangseo Park Hang-seo Mahu Balas Dendam Kepada Thailand
Foto: VnExpress/Lam Thoa
Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram MakanBola.

Final Piala AFF 2022 yang bermula malam ini bukan sekadar peluang Vietnam menjulang piala berprestij itu buat kali pertama sejak edisi 2018. Tetapi ia juga peluang buat jurulatih mereka, Park Hang-seo membalas dendam kekalahan pada Thailand dalam separuh akhir Piala AFF 2020.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Gajah Perang yang dibimbing Mano Polking menang 2-0 ke atas Naga Emas pada perlawanan pertama. Vietnam cuba bangkit pada separuh akhir kedua tetapi kecewa diikat 0-0 oleh juara edisi tersebut – satu perkara yang masih segar dalam kepala Hang-seo.

“Masih ada dua perkara yang kami perlu lakukan. Pertama, bermain baik pada separuh akhir pertama dan membalas dendam terhadap Thailand.

“Kedua, mengakhiri kejohanan sebagai juara dan membawa pulang piala sebagai hadiah kepada para penyokong. Selama lima tahun saya bekerja di Asia Tenggara, saya hanya kalah dengan Thailand dalam separuh akhir Piala AFF 2020,” katanya.

Bila ditanya tentang kekuatan Thailand, Hang-seo tidak mahu berfikir terlalu jauh. Ini kerana baginya, kedua-dua pasukan dilihat seimbang di atas kertas tetapi percaya skuad Naga Emas boleh beraksi dengan baik.

“Thailand memiliki ramai pemain bagus dan itu tidak boleh dinafikan. Mereka menjaringkan 16 gol dan hanya dibolosi tiga kali. Sementara kami (Vietnam) pula menjaringkan 14 gol tanpa bolos.

“Jika kami dikatakan hanya tahu bertahan dengan baik, itu tidak benar kerana kami juga boleh menyerang dengan baik,” tambahnya.

Aksi pertama final berlangsung pada malam ini di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. Sementara aksi kedua final akan berlangsung di Stadium Thammasat tiga hari kemudian.