PDRM dilaporkan membuat perubahan menjelang aksi final kedua MFL Challenge Cup menentang Selangor FC.
Ini kerana pengendali pasukan itu, P. Maniam dilaporkan telah direhatkan oleh pengurusan The Cops. Khabar ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Pembantu jurulatih, Eddy Gapil difahamkan akan menggalas peranan sebagai pemangku jurulatih pasukan itu sehingga akhir musim 2024/25.
Kelibat bekas jurulatih Selangor itu juga tidak kelihatan dalam sidang media pra-perlawanan aksi final kedua di Stadium MBPJ pada 21 Februari lalu.
“Difahamkan P. Maniam telah ‘direhatkan’ daripada tugas selaku pengendali PDRM FC. Tugas beliau akan digalas penolong ketua jurulatih, Eddy Gapil hingga akhir musim 2024/2025,” katanya di X.
Sebelumnya, PDRM dikenakan hukuman kekalahan 3-0 dan denda sebanyak RM3,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini selepas The Cops didapati menurunkan pemain yang tidak berkelayakan dalam aksi final pertama MFL Challenge Cup pada 15 Februari lalu.
PDRM bakal berdepan Selangor di Stadium MBPJ untuk aksi final kedua pada 22 Februari.