Beregu wanita Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah akhirnya memecahkan penantian selama 32 tahun.
Dalam aksi suku akhir acara beregu wanita Sukan Olimpik Paris, Pearly-Thinaah telah diundi untuk berdepan bekas pemenang pingat gangsa edisi lalu, Kim So Yeong-Kong Hee Yong.
Ini selepas pasangan utama negara ini mengakhiri aksi di peringkat kumpulan selaku naib juara setelah merekodkan 2 kemenangan ke atas wakil Jepun dan Indonesia selain 1 kekalahan di tangan beregu China.
Turun selaku pasangan ke-13 dunia, Pearly-Thinaah tampil penuh garang dengan asakan hebat bagi memungut mata meskipun sedar status juara All England yang dipegang oleh pasangan Korea itu.
Persembahan memukau dari juara France Open 2022 ini diteruskan di set kedua dengan banyak pukulan-pukulan yang gagal dikembalikan So Yeong-Hee Yong sekaligus menamatkan aksi 21-12, 21-13.
Kemenangan ini membawa Pearly-Thinaah ke peringkat separuh akhir Sukan Olimpik sekaligus mencipta sejarah baharu yang gemilang buat sukan badminton di Malaysia.
Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita pertama Malaysia yang menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir Olimpik sejak sukan badminton diperkenalkan pada edisi 1992 di Barcelona, Sepanyol.
”Perlawanan hari ini semua orang mahu menang, bukan aksi yang mudah dan kami akan fokus untuk satu perlawanan demi satu perlawanan,” ujar Pearly kepada Astro Arena.
Di peringkat separuh akhir nanti, pasangan negara ini dijangka akan kembali berdepan beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.