Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah berharap dapat meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2024.
Selepas berjaya mengalahkan Kim So-yeong dan Kong Hee-yong di peringkat suku akhir, Pearly-Thinaah ingin meneruskan momentum kemenangan di peringkat separuh akhir.
Beregu nombor satu China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan menjadi penghalang antara mereka dengan pentas final.
Malangnya, hajat Pearly-Thinaah ke final tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan kehebatan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 itu. Qing Chen-Yi Fan menang dengan keputusan 21-12, 21-18.
Meskipun tewas, Thinaah menyifatkan perjuangan mereka di pentas Olimpik masih belum berakhir. Ini kerana mereka masih berpeluang untuk menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara.
Atas sebab itu, Thinaah memaklumkan beliau dan Pearly akan memberikan segala-galanya untuk aksi penentuan pingat gangsa nanti.
“Kami percaya antara satu sama lain sejak hari pertama. Masih ada satu lagi perlawanan esok, seperti biasa kami akan bagi 100 peratus dan memberikan segala-galanya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani selepas perlawanan.
Pearly-Thinaah bakal berhadapan cabaran regu wanita Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida untuk penentuan pingat gangsa pada 3 Ogos ini.