Advertisement
Pegawai Keselamatan FIFA Dikerah Kawal Aksi Indonesia & Vietnam
Dunia
MakanBola
TrendsViet

Susulan insiden bas pasukan Thailand diserang penyokong Indonesia pada akhir Disember 2022, Vietnam berharap perkara sama tidak berulang menjelang aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 esok.

Hal ini dibangkitkan oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan. Lantas, beliau meminta FIFA, AFC, AFF dan PSSI berusaha memastikan isu keselamatan menjadi keutamaan menjelang perlawanan esok.

“AFF telah menambah dua lagi pegawai keselamatan dengan memanggil dua lagi pegawai pertandingan dari AFC dan FIFA bagi memantau perlawanan separuh akhir. Sebelum pasukan Vietnam turun di tempat yang rumit seperti ini (Gelora Bung Karno), saya berharap pasukan dapat diberi perlindungan keselamatan yang ketat.

“Saya telah menghantar dokumen ke Kedutaan Vietnam bagi memberi sokongan dan menyebarkannya kepada rakan-rakan kami di luar negara agar bertindak sambil melindungi diri mereka,” katanya bila dihubungi Zingnews.

Insiden serangan bas skuad Thailand turut menarik perhatian jurulatih Pahlawan Bintang Emas, Park Hang-seo. “Saya tak tahu tahap ancaman yang dihadapi skuad Thailand, tetapi jika ini dijadikan pengajaran, maka kami juga harus bersedia. Dalam kejohanan, menjaga keselamatan pasukan pelawat merupakan tanggungjawab tuan rumah,” katanya.

Aksi separuh akhir pertama Piala AFF membabitkan Indonesia-Vietnam bermula di Gelora Bung Karno esok. Tiga hari selepas itu, giliran Vietnam pula melayan kunjungan Indonesia di Stadium Nasional My Dinh. Yang pasti, kedua-dua pasukan mahu memulakan aksi pertama separuh akhir dengan langkah kanan.