Pelabur dari Australia difahamkan menjadi tunjang bagi perjalanan musim baharu kelab Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PT Athletic, Arzawiyah Abdul Rahman mengenai perancangan pasukan musim baru.
Kelab yang berpangkalan di Putrajaya itu dibarisi oleh barisan pemain muda dan berpengalaman termasuklah kepulangan lagenda, Amri Yahyah bersama pasukan tersebut.
Katanya, sasaran pasukan adalah untuk melayakkan diri ke pentas Liga Super musim depan namun tidak mahu memberi tekanan yang terlalu tinggi.
“Kita tidak mahu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi memandangkan kami kelab baharu. Kita cuba mengharapkan pasukan bermain dengan penuh semangat.
“Bajet kita juga tidak terlalu besar tetapi Alhamdulillah kita ada pembiayaan peribadi dari perseorangan jadi untuk mengharungi musim akan datang tiada masalah.
Beliau juga memberitahu bahawa seorang pelabur dari Australia giat membantu PT Athletic bagi mengharungi musim baharu.
“Dana ini telah diuruskan oleh sebuah syarikat. Ada individu yang tidak mahu dikenali dan meminta agar syarikat kami (PAC) menguruskan dana bagi pihak beliau.
Arzawiyyah juga optimis untuk memastikan tiada isu tunggakan gaji bakal melanda staf dan juga pemain PT Athletic.
“Pelabur kami bukan dari Malaysia, beliau berasal dari Australia. Dia tidak mahu dikenali dan terlalu banyak publisiti,” jelasnya kepada Harimau Malaya.
PT Athletic antara 15 pasukan yang bakal menghangatkan saingan Liga A1 Semi Pro musim 2024/25.